Unsur Budaya Dalam Filem Hati Malaya 1957
BAHASA DAN POSTER (1957 HATI MALAYA)
Filem 1957 Hati Malaya ialah sebuah filem buatan Malaysia yang diterbitkan oleh Pesona Pictures Sdn. Bhd yang bertemakan anak-anak muda menghayati sejarah negara dan erti kemerdekaan dan semangat nasionalisme. Filem ini bertumpu kepada Tunku Abdul Rahman yang merupakan pengasas bagi Parti Perikatan yang menjadi Perdana Menteri Malaya yang pertama pada tahun 1957 walaupun mendapat tentangan hebat dari British ketika itu.
Hati Malaya bukan sekadar filem sejarah yang mencatatkan kronologi sahaja malah ia mampu menyuntik semangat patriotik dalam kalangan penonton. Filem arahan Shuhaimi Baba ini sememangnya menampilkan semangat nasionalisme yang tinggi kepada pelakon yang melakonkannya bahkan penonton juga dapat merasakan semangat perjuangan ketika itu.
Bahasa yang digunakan dalam poster filem ini adalah sangat jelas memfokuskan tentang pengorbanan seluruh orang Malaya dalam mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Teks “HATI MALAYA” yang merupakan tajuk bagi filem ini sememangnya menunjukkan semangat merdeka bagi pejuang-pejuang bangsa yang telah memerdekakan rakyat Malaysia dari penjajahan. Kesatuan hati mereka dalam mempertahankan dan mengekalkan negara daripada dijajahi sangat ditekankan dalam filem ini. Teks ini juga membawa maksud betapa tingginya semangat jati diri kaum melayu ketika itu yang sanggut bergadai nyawa demi mempertahankan negara Malaya.
Manakala bagi nombor yang digunakan pula iaitu tahun “1957”, jelas membawa penonton dan rakyat dalam mengenang akan sejarah Malaya pada tahun 1957 dalam mencapai kemerdekaan. Ianya memaparkan mengenai cabaran yang dilalui dan pengorbanan yang dicurahkan bekas pemimpin negara. Membawa rakyat Malaya dalam mengingati saat-saat bendera Malayan Union diturunkan dan merdeka yang dilaungkan. Usaha pejuang-pejuang Malaya dalam mewujudkan kemerdekaan negara ini dan kekal bersatu dikukuhkan dengan bahasa kebangsaan dan warisan negara.
UNSUR BUDAYA DALAM FILEM 1957 HATI MALAYA
Kita sedia maklum bahawa props atau peralatan sangat penting dalam sebuah filem. Tidak kira filem genre aksi ataupun genre seram sekalipun, semua filem tetap menitikberatkan penggunaan peralatan atau props dalam pengambaran. Peralatan merujuk kepada bahan atau material yang digunakan dalam pengambaran dimana sifatnya boleh dikategorikan sebagai bersifat bergerak dan boleh digerakkan. setiap penggunaannya mempunyai simbolik tentang sesuatu perkara ataupun ada tujuan disebalik penggunaanya. Elemen ini sangat penting kerana ia dapat membantu mengukuhkan lagi set, membantu ekspresi watak dan membantu setiap sudut dalam pengambaran filem. Terlalu banyak peralatan yang digunakan dalam filem 1957 hati Malaya dan Filem Tanda Putera arahan Suhaimi Baba. Setiap props yang digunakan mempunyai makna atau ada kaitannya dengan peristiwa-peristiwa penting yang cuba diketengahkan dalam filem tersebut.
Di awal permulaan filem ini, penonton dipaparkan dengan babak Raja-Raja Melayu dipaksa menurunkan tandatangan untuk mempersetujui penggubalan Malayan Union sebelum masuk ke plot utama. Pen dan kertas digunakan sebagai simbol bahawa ketika itu Raja-Raja melayu didesak untuk menandatangani persetujuan penggubalan Malayan Union. Peralatan ini membantu watak-watak Raja-raja Melayu bagi mengukuhkan lagi emosi yang dipegang oelh watak tersebut.
Seterusnya penggunaan keris. Pada minit ke 4.11, Sultan Kedah yang dibintangi oleh Jalaludin Hassan ada memegang sebuah keris. Hal ini kerana keris mempunyai kedudukan penting dalam masyarakat Melayu dari dulu hingga kini. Keris adalah symbol kekuasaan Raja-raja Melayu. Keris dijadikan sebagai perangkat adat istiadat yang melambangkan kekuasaan, kewibawaan, kedaulatan seseorang raja atau sultan sesebuah negeri. Kerana itu, keris penting dalam watak Raja-raja kerana ia merupakan bendawi yang di dalamnya terkandung gagasan, wawasan, aspirasi, hasrat perasaan, akal budi, adat dan undang-undang, serta kedudukan seseorang.
Seterusnya dalam filem ini juga menggunakan kereta model lama. Jelas disini membuktikan bahawa dahulu kala melayu di bawah jajahan British, walaupun melayu tetap dengan keaslian mereka, namun ada beberapa aspek dimana terdapatnya pengaruh british. Buktinya kereta lama yang digunapakai dalam pengambaran filem ini.
Kemudian, pada minit 11.48 pula, Maya Karin yang memegang watak sebagai Mala ada memberi wang kepada seorang budak. Kita dapat lihat not mata wang itu masih menggunakan not mata wang yang lama. Melalui ini, pengarah cuba menyampaikan kepada penonton bahawa latar masa dalam filem ini adalah sekitar tahu 1940-1957 dimana not mata wang Malaysia masih berwajah lama. Penggunaan wang ini sangat membantu jalan cerita kerana kebanyakan latar masa dalam cerita ini adalah zaman Malaysia masih menuntut kemerdekaan.
Selain itu, dalam filem ini juga menceritakan kepada kita, bahawa ekonomi Negara kita zaman dahulu tidak begitu stabil terutamanya bagi mereka yang miskin dan tinggal di kampung. Ada satu babak yang memaparkan bahawa penggunaan basikal dalam kalangan masyarakat adalah sangat penting. Hampir kesemua rakyat Malaysia menggunakan basikal sebagai pengangkutan seharian mereka. Hal ini membantu latar masa filem ini. Bahkan salah satu inisiatif jepun dalam pengangkutan bagi menguasai tanah melayu adalah menggunakan basikal. Ini kerana basikal mempercepatkan perjalanan tanpa disedari pihak british. Tambahan pula, basikal mudah digunakan untuk melalui jalan sempit. Pendek kata pada saat itu, basikal adalah pengangkutan yang paling popular di kalangan penduduk Melayu pada saat itu.
Dalam filem ini juga ada mengetengahkan penggunaan bahasa jawi dalam sebuah penerbitan akhbar. Contohnya papan kedai asam laksa kak lah ditulis dalam bahasa jawi. Bahkan ada akhbar yang diterbitkan dengan menggunakan bahasa Jawi. Buktinya pada minit ke 15.11 apabila watak Adlin Ramli dan Maya Karin membaca sebuah akhbar mengenai penentangan rakyat Melayu kepada penggubalan Malayan Union. Sewaktu zaman penjejahn, tulisan jawi masih menguasai kepulauan Melayu, terutamanya dalam bidang sastera dan kesenian, teologi, falsafah, perdagangan dan juga perundangan negeri.
Seterusnya, penggunaan Akhbar dalam filem ini adalah elemen yang sangat penting. Setiap akhbar yang dipaparkan dalam filem ini ada hubung kaitnya dengan peristiwa. Contohnya pada babak Dato Onn dikatakan gila kuasa hingga diterbitkan dalam akhbar The Straits Times dan akhbar The Times. Kita maklum bahawa akhbar memainkan peranan penting dalam sesebuah masyarakat. Di Negeri-negeri Melayu (NNM) fungsi awalnya berperanan sebagai medium untuk melaporkan tentang berita dan peristiwa. Penggunaan akhbar dalam filem ini sangat penting kerana ini menggambarkan bahawa peranan akhbar Melayu pada zaman tersebut semakin besar dan semakin penting dalam membentuk proses komunikasi yang lebih berkesan dalam masyarakat Melayu. Ini kerana isu-isu yang dibincangkan meliputi peristiwa dari dalam dan luar negeri terutamanya dalam isu politik.
Dalam filem ini juga ada menggunakan radio sebagai medium penyebaran berita. Bahkan pada babak terakhir ketika Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka, juga ada disiarkan di Radio. Radio pada saat itu memainkan peranan yang amat penting dalam menyebarkan maklumat mengenai keaadan masa itu. ini kerana penyampaian maklumat kerana ia lebih cepat, murah dan tepat. Ia disiarkan terus kepada rakyat Malaysia. Hampir setiap babak menggunakan radio dan akbar sebagai medium penyampaian berita.
Dalam babak Dato Onn berbincang dengan Raja-raja Melayu, semua penduduk melayu datang dengan membawa sepanduk. Sepanduk yang bertulis tentang kebebasan, tentang kemerdekaan. Dalam babak ini, sepanduk digunakan sebagai alat bantuan dalam menyuarakan keinginan penduduk melayu. Bahkan dalam mana-mana perjuangan bangsa, sepanduk digunakan sebagai alat penyampaian hak individu.
WATAK DAN PERWATAKAN DALAM FILEM 1957 HATI MALAYA
Filem arahan Suhaimi Baba, 1957 Hati Malaya merupakan sebuah filem yang mengangka darjat serta pencapaian kerajaan Melayu. Dalam cerita ini, penonton dibawa menyelami apa yang berlaku sepanjang detik awal tanah melayu mendapatkan kemerdekaan dari campur tangan British. Watak Tunku Abdul Rahman yang dipegang oleh Kamarulzaman Taib sangat memberi kesan kepada penonton. Walaupun saya kurang mengenali perwatakan dan gaya percakapan Tunku Abdul Rahman, namun Kamarulzaman Taib Berjaya menjiwai watak tersebut. perwatakanannya yang lemah lembut serta ramah mesra membawa penonton untuk berimiganasi tentang perwatakan Tunku Abdul Rahman yang sebenarnya. Sifatnya yang berhati mulia untuk membantu kes natrah membuatkan dia lebih Berjaya dan disegani. Beliau Berjaya memberikan emosi kepada penonton. Saya tertarik dengan babak di dalam dewan ketika Tunku mengaku tidak cukup wang untuk ke London. Dalam babak itu, lakonan Kamarulzaman begitu berkesan apabila dia mengalirkan air mata kerena rasa terharu atas kesanggupan rakyat menderma belanja mereka ke London. Lakonannya ketika itu terjaga sebagai ‘Tunku’, gayanya dan perasaanya dapat kita rasa menjadi tumpuan, malah telah menyebabkan beberapa penonton menangis. Beliau Berjaya mencipta watak ‘tunku’ yang boleh kita percayai dan rasa sebagai Tunku pada zaman itu.
Watak Rozhan dalam filem ini dilakonkan oleh Adlin Aman Ramli. Beliau juga memegang watak sebagai Rafik. Rozhan mencintai Mala semenjak Mala dan keluarga abang Mus pindah dari kampung asal mereka untuk membuka gerai makan. Ekspresi Rozhan berubah apabila mengetahui bahawa Zahari juga menyukai Mala. Dalam kesabaran yang Rozhan lakukan demi mencintai Mala, tahap kesabarannya mulai hilang apabila Zahari bagaikan menghasut Mala untuk terus menyokong Tun On yang sengaja memperlambatkan kemerdekaan. Rafik pula seorang yang mulut murai dan sering mencipta kuiz untuk rakan-rakannya yang menyebabkan dia bagaikan tidak serius dengan pekerjaanya. Rafik juga ingin mempertahankan design muka buku yang bakal mereka hasilkan yang membawa unsur keaslian dalam designnya.
LATAR MASA DAN TEMPAT PADA POSTER FILEM HATI MALAYA (1957)
Latar masa dan tempat pada filem 1957 Hati Malaya adalah menggunakan dua jenis latar masa yang berbeza. Latar masat yang berbeza adalah menunjukkan bahawa terdapat dua jenis penceritaan iaitu pada masa zaman moden dan masa zaman kolonial. Latar masa zaman moden adalah jalan penceritaan utama dan penguat kepada cerita tersebut melalui imbas kembali (flashback) pada zaman kolonial. Selain itu, latar masa yang berbeza ini memainkan peranan yang sangat penting kepada jalan penceritaan dan mesej yang ingin disampaikan kepada penonton. Latar masa pada zaman kolonial adalah pada tahun 1945 dan berlatarkan tempat di Kings House, Kuala Lumpur iaitu ketika Raja membuat perbincangan. Selain itu pada 1 Mac 1946 pula berlatarkan tempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur telah mengadakan Kongres Melayu yang pertama dirasmikan oleh Sultan Selangor.
Seterusnya, latar tempat yang digunakan adalah Batu Pahat, Johor dan Alor Setar Kedah iaitu berlatarkan masa pada tahun 1946 dimana dalam jalan penceritaan filem tersebut telah menceritakan dua latar yang berbeza dalam satu masa yang sama. Selain itu, pada 1 April 1946 dimana orang-orang melayu pada zaman tersebut telah mengadakan satu perhimpunan besar di Station Hotel, Kuala Lumpur. Pada tahun 1949 berlatarkan tempat di Rumah Menteri Besar di Johor Bharu, Dato’ Onn dituduh gila kuasa dan pada tahun 1952 berlatarkan tempat di Kuala Lumpur, UMNO dan MCA menang mejoriti 9 kerusi pada Pilihanraya Munisipal. Pada tanggal 20 Februari 1956 dan berlatarkan Bandar Hilir Melaka iaitu kepulangan misi merdeka.
BUSANA DAN MAKE UP
Tata rias dan tata busana merupakan pasangan yang tidak dapat dipisahkan dalam penyampaian tarian ataupun bidang lakonan. Penggunaan kostum yang sesuai juga dapat menambahkan lagi aura dalam lakonan berikutan dengan tema sesuatu penceritaan agar lebih jelas dipertontonkan. Pastinya penggunaan kostum dan sesuai hendaklah digunakan mengikut latar belakang penceritaan cerita tersebut. Setiap pelakon akan memegang watak yang berbeza iaitu watak antagonis dan protagonist. Penggunaan pakaian dan tata rias akan mempengaruh watak-watak tersebut menerusi pemakaian dan tata rias mereka. Bahkan penggunaan warna yang sesuai dalam pemakaian juga diambil kira dalam menimbulkan watak mereka.
Busana dalam filem ini menggunakan pakaian pada zaman dahulu seperti baju kurung dan baju Melayu yang menunjukkan situasi masih berada di zaman kemerdekaan. Manakala Tun Abdul Rahman mengenakan pakaian yang sama seperti orang barat kerana beliau sentiasa berurusan dengan mereka disamping menjadi pakaian formal dalam urusan formal. Tun Onn Jaafar juga serin menggunakan baju Melayu di setiap persidangan yang beliau hadiri. Penggunaan baju kurung dan baju Melayu ini membuktikan cinta akan bangsa Melayu sendiri.
Make up yang digunakan pula cukup bersahaja dengan watak-watak yang terlibat. Wanita-wanita kampung yang biasa hanya mengenakan make up yang bersahaja dan tidak berlebihan sesuai dengan watak sebagai orang kampung. Rambut watak Tun Abdul Rahman dan Tun Onn Jaafar diwarnakan sedikit putih untuk menunjukkan bahawa usia yang telah meningkat. Seterusnya, ketika persidangan berlangsung, para wanita bahkan isteri-isteri Tun Abdul Rahman dan Tun Onn Jaafar menggunakan sentuhan make up yang berbeza sedikit dari kebiasaannya dengan menggunakan gincu yang kemerahan bahkan kening yang beralis yang menunjukkan mereka menghadiri persidangan yang penting buat bangsa Melayu.
SIMBOLIK DALAM FILEM 1957 HATI MALAYA
Simbolik pertama ditunjukkan oleh pengarah adalah dari aspek nombor yang mana saiz nombor 1957 berbeza. Nombor 57 dibesarkan saiznya berbanding 19 kerana ia menunjukkan bahawa tarikh itu adalah tarikh keramat Tanah Melayu bebas dari penjajah dan merasa kemerdekaan. Pengarah juga ingin menunjukkan bahawa tahun itu adalah tahun berakhirnya kekejaman di Tanah Melayu dan ia akan kekal semadi di ingatan rakyat. Tambahan pula, tahun tersebut juga merupakan tahun bakal bermulanya kemajuan negara ini.
Selain itu, penggunaan gambar watak di dalam poster juga menunjukkan satu kelainan. Hal ini kerana gambar Perdana Menteri iaitu Bapa Kemerdekaan digunakan sebagai tanda kebebasan Tanah Air daripada penjajah. Tambahan pula, penggunaan langit yang kebiruan menunjukkan kedamaian dan keamanan Tanah Melayu selepas kemerdekaan dan gambar watak-watak yang ramai sedang berkumpul menunjukkan bahawa rakyat di Tanah Melayu ketika itu bersatu hati mendapatkan kebebasan dan keamanan negara.
Comments
Post a Comment